Halal? Syariah Compliant?

Perniagaan dan Score A memang halal, dan sah dari segi Syariah. Sama halalnya dengan sepinggan nasi yang anda beli daripada restoran berhampiran.

Tetapi apa kata jika anda membeli nasi tersebut dengan duit hasil menjual minuman keras ataupun duit yang dicuri? Adakah nasi tersebut masih halal?

Kita selalu dengar, niat tidak menghalalkan cara. Jika seorang ibu tunggal yang menyara anak-anak dengan melacurkan diri, adakah halal pekerjaannya itu? Niatnya baik, hendak menyara anak-anak supaya dapat membesar dengan sihat dan akhirnya menjadi orang yang berguna. Tetapi sekali lagi fikirkanlah sama ada halal pekerjaannya itu.

Sebelum ada yang salah faham, biar saya maklumkan di sini, tiada salahnya menggunakan sistem Score A untuk anak-anak belajar kerana sistem itu memang bagus dan lengkap.

Yang saya maksudkan di sini ialah sistem perniagaan yang digunapakai oleh peniaga Score A yang dijalankan melalui pemasaran berbilang tingkat atau lebih dikenali sebagai Multi Level Marketing iaitu MLM.

Rata-rata apa yang selalu digembar-gemburkan di dalam sesi preview ataupun ketika seorang peniaga Score A ialah keuntungan yang boleh diraih sekiranya menjadi ahli MLM. Bahkan kad-kad perniagaan mereka juga ditukar daripada "bertumpu kepada penjualan (sales) dan rangkaian (network)" kepada "bertumpu kepada rangkaian (network)".

Score A bukan seperti MLM lain di mana bonus hasil penjualan dikongsi oleh beberapa peringkat. Peniaga hanya untung RM50 untuk penjualan satu top-up/reload secara runcit. Oleh itu mereka lebih berminat dan tertumpu kepada rangkaian di mana bonus untuk mendapatkan peniaga baru boleh mencecah ribuan ringgit.

Secara kasarnya peniaga baru membayar harga ribuan ringgit itu untuk membeli produk iaitu kad aktivasi dan top-up. Secara sebenar-benarnya, sebahagian besar duit jualan tersebut ditelan oleh Kenshido dan sebahagian lagi diberi kepada peniaga yang memperkenalkan peniaga baru tersebut.

Indah khabar dari rupa, peniaga yang baru masuk itu mesti menjalankan tugas sepertimana orang yang memperkenalkannya. Janji manis seperti, "kita satu kumpulan", "bantu-membantu", "ini perniagaan untuk orang tiada masa" menjadi tahi.

Selepas masuk, janji tinggal janji. "Upline ramai lagi downline kena bantu", "jangan manja", "wajib datang setiap meeting".

Ini kisah benar, ramai yang cuma berbaik-baik dan berkawan-kawan disebabkan oleh perniagaan ini. Setelah seorang peniaga tidak hadir beberapa kali disebabkan kesibukan hidup, peniaga lain ini akan kerap mengutuk dan mencerca di belakang, dan akhirnya terus malas untuk membantu. Langkah pertama mereka mungkin semudah membuang anda dari senarai rakan di Facebook.

Sistem perniagaan ini dijalankan melalui Internet. Berapa ramaikah orang di negeri Kedah yang pekerjaan mengusahakan bendang (sawah padi) yang boleh menggunakan Internet? Jika upline tiada masa, siapa nak bantu mereka? Jika upline yang uruskan akaun mereka, bila-bila masa upline boleh manipulasi akaun mereka dan maksimakan untung kepada akaun upline.

Latihan pun tiada yang betul-betul berguna dan balik-balik ulang benda yang sama. Tiada yang membantu melatih kemahiran bercakap ataupun membuat sales. Mahal pula kos latihan.

Dalam 10 orang yang direkrut di luar bandar Kedah (sebagai contoh sahaja), berapa orang yang dapat balik modal? Tak payah cerita pasal untung lagi, balik modal... berapa orang balik modal?

Pada hujungnya tidakkah upline makan duit downline yang terseksa membayar ribuan ringgit tanpa pulangan?

Halalkah itu? Fikir-fikirkan sebelum anda sign borang tersebut dan memberi ribuan ringgit kepada mereka. Jika anda seorang yang mahir dalam membuat sales sekalipun, anda fikir dulu sama ada halal duit yang anda nak dapat tu. Baik kekal di dalam perniagaan halal yang anda buat tu...

Kalau nak pakai untuk anak-anak, beli sahaja kad tu.